Rasa tak sedap hati jadi sebab bapa pandu kereta 30km cari anak & rakan2


Sejak semalam, kejadian lemas akibat terhidu karbon monoksida melibatkan 4 orang gadis telah tular di media sosial. Tiga daripada mangsa dilaporkan telah meninggal dunia dan seorang lagi berada dalam keadaan koma.

Kesemua mangsa merupakan sahabat baik dan menuntut dalam bidang yang sama telah pulang dari bercuti di Pulau Jerejak dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Tiga mangsa tersebut adalah Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, Ayuni Shazwanie Shabri, 21  serta salah seorang daripada pasangan kembar, Nor Adilah Safwan telah meninggal dunia semalam dengan dua daripadanya meninggal ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Naluri bapa rasa tak sedap hati

Menyingkap kembali kejadian semalam, menerusi Sinar Harian, bapa kepada salah seorang daripada mangsa iaitu Ayuni Shazwanie Shabri, Shabri Ahmad, 54 memaklumkan berasa tidak sedap hati apabila anaknya masih belum pulang walaupun sudah menunjukkan pukul 11 malam.

Disebabkan rasa tidak sedap hati, dia telah memandu sejauh 30km dari rumah mencari anak serta rakan-rakannya sebelum menemui mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di stesen minyak Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Sebelum kejadian, anak saya telah menghantar kiriman WhatsApp kepada isteri, Zalina Othman, 53, lebih kurang jam 9 malam tadi (semalam) memberitahu mereka berempat singgah di lokasi terbabit memandangkan salah seorang rakan mereka, mabuk laut,”

“Dalam jam 12.15 tengah malam, saya keluar bersama anak kedua mencari adik (Ayuni Shazwanie), dalam fikiran saya mungkin kereta rosak atau tersadai namun tidak kelihatan langsung di sepanjang jalan.”

“Saya terus ke stesen minyak dan terkejut nampak kereta dinaiki mereka masih di situ.”

“Bila ketuk dan periksa, pintu tidak berkunci.”

Difahamkan Ayuni dan rakan-rakannya telah keluar berjalan-jalan sekitar jam 2 petang untuk ke Pulau Jerejak dari Sungai Petani bersempena denga Cuti Hari Malaysia.

Namun, sekitar jam 9 .30 malam dia memaklumkan berhenti rehat di stesen minyak tersebut kerana rakannya mengalami sakit kepala dan muntah.

Jenazah anak bongsu dalam keluarga itu telah dibawa pulang ke kampung halaman sekitar jam 5.30 petang dan selesai dikebumikan sejam selepas itu.

Sumber: Sinar Harian