Rakyat kecewa menteri langgar kuarantin tak didakwa, kata Puad
Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menegaskan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali sepatutnya lebih mengetahui tanggungjawabnya bersabit dakwaan pelanggaran kuarantin.
Menurutnya, rakyat pasti kecewa apabila anggota Parlimen Kuala Nerus itu tidak didakwa kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.
"Ada dua alasan kenapa keputusan itu dipersoalkan. Pertama kenapa terlalu lama untuk disiasat dan diputuskan. Pihak berkuasa macam bermain masa untuk mencari alasan.
"Kedua, kerajaan dilihat tidak tegas. Pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang kononnya tidak memberi borang 14B kepada Khairuddin dijadikan “kambing hitam”," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu Khairuddin dilaporkan mengunjungi Turki pada 3 Julai dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai.
Selepas itu, dia tidak menjalani kuarantin 14 hari, seperti individu lain yang kembali dari luar negara, sebaliknya menghadiri banyak acara umum.
Ini termasuk sesi parlimen dan acara di Istana Negara.
Dia dikenakan denda kompaun sebanyak RM1,000, bertarikh 7 Ogos atas tuduhan pelanggaran tersebut, tetapi Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah telah mengabaikan pertanyaan apakah kompaun itu diundur tarikhnya (backdated).
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara menjelaskan bahawa setelah siasatan, didapati bahawa Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setelah kembali dari luar negara.
Dia diuji negatif Covid-19 dan diizinkan untuk pulang ke rumah, tetapi tidak dikeluarkan Borang 14B dan tidak diperintahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah sesuai dengan Seksyen 15 (1) Akta 342.
Sementara itu Puad berkata, rakyat biasa yang balik dari Sabah sebelum tarikh 27 September juga mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari.
Malah katanya, ada yang mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan ujian saringan calitan atau swab test.
'Bukan itu sahaja ada yang melakukannya sampai dua kali.
"Maka dari segi moral sepatutnya sebagai menteri, Khairuddin lebih mengetahui tanggungjawab beliau. Nyawa dia adalah juga nyawa orang lain.
"Kini kerajaan dituduh melakukan 'ketegasan selektif'. Rakyat kecewa," katanya.