Masalah teknikal i-Sinar sudah pulih, maaf atas segala kesulitan
Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon skim i-Sinar boleh menyemak semula keputusan mereka bermula pagi ini.
Semakan boleh dilakukan selepas ramai pemohon mengesan berlaku kekeliruan pada paparan status permohonan skim i-Sinar, sejak semalam.
Susulan itu, KWSP mengeluarkan permohonan maaf berhubung masalah teknikal pada paparan status permohonan skim i-Sinar itu.
“Pihak kami sedang berusaha untuk mengatasi kesulitan ini dan ahli boleh menyemak semula status permohonan pada 8 Februari, bermula jam 8 pagi ini,” katanya.
KWSP yang dihubungi BH berkata, pihak mereka akan mengeluarkan maklum balas sekiranya ada perkembangan lanjut.
Sementara itu, semakan di portal KWSP tadi menunjukkan semakan i-Sinar boleh dilakukan seperti biasa dan turut memaparkan status permohonan.
Tular di media sosial sejak semalam mengenai semakan yang mengelirukan pencarum kerana permohonan ahli yang diluluskan, tetapi ketika semakan seterusnya ia bertukar kepada status proses tamat.