Balu Seniman Lagenda Haji Mahadi Meninggal Dunia


Balu seniman legenda, Allahyarham Mohd Mahadi Mohd Said atau lebih dikenali sebagai Tuan Haji Mahadi iaitu Rosminah Sawir meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, malam tadi.

Anak Allahyarham, Aminah Mahadi memberitahu, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun selepas lebih sebulan mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan, di sini.

"Arwah emak saya dimasukkan ke ICU pada 5 April lalu. Pada mulanya, emak hanya sakit kaki kemudian berlaku komplikasi ubat hingga menjejaskan buah pinggang.

"Emak juga menjalani prosedur trakeostomi. Sejak itu, keadaan kesihatannya semakin merosot," katanya ketika dihubungi BH Online.

Aminah turut berkongsi berita duka pemergian bonda tersayang di Facebook (FB). Melalui entri itu, Aminah menyatakan reda dengan pemergian wanita yang dianggap 'Syurga Dunia' itu.

Aminah meluahkan emosi berbunyi:

"Setelah hampir 54 tahun dipinjamkan kepada saya, Bonda kini kembali menemui Pencipta-Nya dalam usia 82 tahun. Kini pergilah 'Syurga Dunia' saya.

"Walaupun kepergiannya diratapi, saya sedar Allah memilih Bonda untuk menghadapnya pada bulan mulia ini pada Jumaat terakhir, di 10 hari terakhir Ramadan.

"Sungguh cantik pengakhiran Bonda. Semoga Bonda diampunkan segala khilaf dan ditempatkan dalam kalangan para solihin."

Aminah memberitahu jenazah ibunya akan dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said di Ampangan, Seremban sebelum Zuhur, hari ini.

Allahyarham Tuan Haji Mahadi dianggap antara tokoh filem Melayu sejak menceburi dunia seni dengan membintangi filem Penghidupan pada 1951 sebagai pelakon tambahan.

Tuan Haji Mahadi yang sebelum itu berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1939, muncul anak Melayu pertama yang menjadi pengarah filem di Malay Film Productions (MFP) Limited melalui karyanya, Permata di Perlimbahan pada 1952.