Dakwa Ibu Selewengkan Harta Pusaka Kerana Jual Geran Tanah, Lima Anak Laporkan Ibu Kepada Pihak Polis


Gara-gara harta pusaka, lima orang anak dipercayai telah melaporkan ibu mereka kepada pihak polis di Kampung Gudang Huut, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat.

Memetik laporan Kompas.com, mereka tergamak melaporkan wanita yang melahirkan dan membesarkan mereka atas tuduhan penyelewengan.

Ibu mereka, 72, ternyata kecewa dan sakit hati hingga tidak dapat menahan tangis apabila mengetahui mengenai laporan polis itu.

“Sakit (perasaan) saya, anak pertama melaporkan saya kepada pihak polis dengan mengatakan saya telah menggadaikan tanah yang bernilai Rp 500 juta (RM147,223),” katanya.

Sementara iu, pihak polis yang menerima laporan tersebut telah mengambil tindakan lanjut dengan menyoal siasat warga emas itu pada 29 November lalu. Difahamkan, wanita tersebut telah datang ke pejabat polis dengan menggunakan kerusi roda kerana kedua kakinya lumpuh akibat strok.

Selain dilaporkan kepada polis, dia juga turut mengakui bahawa sering diperlakukan dengan ganas dan dipaksa menandatangani dokumen oleh lima anaknya.

“Ada lapan anak, tiga daripadanya tinggal bersama saya manakala lima lagi sering bertindak kasar kepada saya,” katanya.

Dia turut mengakui bahawa perlakuan anak-anaknya itu bermula selepas suaminya meninggal dunia. Ketika hari ketiga suaminya tiada, kelima anaknya telah mengambil surat tanah.

Perlakuan mereka itu telah membuatkan dirinya menjadi trauma dan sering merasa takut apabila mendengar bunyi pintu rumahnya diketuk. Dia takut didatangi kelima anaknya kerana sering diancam.

“Nak buat macam mana lagi, saya hanya mampu pasrah. Saya ada Allah SWT, saya serahkan semua nasib saya,” katanya sambil mengusap air mata.

Sumber: Kompas.com