ANGGOTA POLIS ‘SERONOK’ MAIN TIKTOK. INI KENYATAAN DARI KPN ABDUL HAMID BADOR
Usia belum cecah tiga tahun namun budak lelaki badan sasa dengan rambut ala Sylvester Stallone dalam filem Rambo ini sudah pandai menunjukkan pelbagai gelagat lucu dan kadangkala jelek.
Anehnya aksi-aksi tersebut bukan ditiru daripada ahli keluarganya. Selepas ‘disiasat’, rupanya gelagat itu diciplak daripada aplikasi TikTok dan YouTube.
Pegang sahaja telefon pintar, jari-jemari kecilnya ligat mencari video sama ada di TikTok mahupun YouTube digemarinya. Keasyikan tersebut membantu ibu bapanya melaksanakan kerja-kerja rumah walaupun mungkin ramai mengecam tindakan membenarkan anak belum sampai usia bermain telefon.
Begitulah kuasa media sosial yang mempengaruhi kehidupan harian bukan sahaja kanak-kanak malah golongan profesional dan segelintir kalangan warga emas.
Hakikatnya, kehidupan manusia kini dipacu oleh internet. Internet tidak boleh tidak ada. Perkhidmatan tersebut menjadi keperluan asas yang mendahului kemudahan lain.
Buktinya hotel, restoran, pusat beli-belah malahan dalam perkhidmatan awam kini dilengkapkan dengan Wi-Fi. Wi-Fi dalam bisnes ibarat ‘pelaris’.
Internet dan media sosial ada baik dan buruknya bergantung kepada penggunannya.
Namun bagi permainan di aplikasi seperti TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube agak janggal jika ia disertai penjawat awam termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Aplikasi-aplikasi tersebut terlalu santai dan remeh untuk dikongsi oleh penjawat awam yang diletakkan masyarakat dalam kelasnya tersendiri.
Bayangkan seorang pegawai atau anggota polis lengkap berpakaian seragam menari-nari dimuat naik dalam TikTok. Ia sangat tidak sopan apabila aksi seperti itu dipertonton warganet.
Kelakuan tersebut juga sekali gus merendahkan martabat PDRM kerana dengan pakaian seragam tersebut, pegawai polis berkenaan sewajarnya sedang melakukan tugas.
Justeru, arahan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya menyeru warganya berhenti memuat naik video-video berpakaian seragam di semua aplikasi media sosial adalah wajar.
Bukan sahaja warga polis tetapi sektor kerajaan lain juga diseru mengambil langkah sama seperti diumumkan PDRM. Integriti penjawat awam harus utuh, dilihat bermoral dan serius pada setiap masa.
KENYATAAN DARI Ketua Polis Negara Tentang Anggota Main Tiktok
Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa, adalah tidak sopan untuk mana-mana pegawai atau anggota beruniform Polis melakukan aksi-aksi tarian atau lain-lain dalam aplikasi TikTok dan mana-mana aplikasi media sosial terkini kerana ia boleh memburukkan imej Pasukan.
Persembahan menggunakan uniform Polis bagi tujuan persembahan pentas atau tontotan umum mestilah mendapat kelulusan pihak pengurusan PDRM terlebih dahulu dan bukan dengan tujuan peribadi. Saya akan memberi perhatian serius mengenai perkara ini.
Sumber : Utusan Online / FB Abdul Hamid Bador