Anwar pembohong tegar dan ahli politik kurang siuman, kata Azmin
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) menafikan kerajaan mereka tumbang selepas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairry Jamaluddin berkata ketika pengumuman tengah hari tadi PN baru sahaja selesai mesyuarat jemaah menteri dan pentadbiran berjalan seperti biasa.
“Baru selesai mesyuarat jemaah menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” catat Khairy di Twitter.
Sementara itu Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan bekas ketuanya di PKR sebagai “pembohong tegar dan psikopat politik”.
Tidak menamakan mana-mana pihak, Azmin memuat naik status di Twitter beberapa jam selepas Anwar mengumumkan perkara itu di Hotel Le Meridien, di sini.
Manakala Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata Anwar cuba memecah solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan melunturkan kerajaan pusat.
“Dengan itu dia harap dapat (beri) kelebihan kepada Warisan. Ini sikapnya dari dulu tanpa peduli kesan buruk pada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” catat Annuar di Twitter.
Katanya Anwar juga terdesak untuk merampas kuasa selepas gagal mencabar kesahihan pengampunan diraja di mahkamah semalam.
“Setelah gagal menghalang usaha mencabar kesahihan pengampunan diraja di mahkamah, beliau ternyata terdesak cuba merampas kuasa sebagai jalan terakhir untuk mengelak sesuatu yang paling tidak diingininya,” tambahnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan agar pilihan raya diadakan semula selepas beberapa kali bertukar kerajaan.
“Anwar dakwa sudah cukup majoriti ahli parlimen untuk mengubah kerajaan kononnya kerajaan yang bakal terbentuk lebih stabil. Betulkah?
“Apa jaminan jika benar ada yang lompat, tidak lompat balik? Jika asyik bertukar begini lebih baik serah mandat kembali kepada rakyat,” catatnya di Twitter.